Sunday, 23 June 2013

LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH PEMBUANGAN BAYI HAMIL LUAR NIKAH

1) Pihak berkuasa dan media massa haruslah memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini. Pihak media massa hendaklah menyekat program-program hiburan yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti filem-filem yang mengandungi adegan-adegan lucah yang boleh menyebabkan kadar gejala sosial semakin meningkat seterusnya meningkatkan lagi kadar pembuangan bayi. 

2) Pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan hukuman maksimum ke atas pasangan yang berzina seperti mengenakan hukuman sebat. Hukuman yang setimpal harus dilaksanakan supaya dapat memberi pengajaran kepada remaja yang terlibat dan juga kepada remaja- remaja yang lain. Secara tidak langsung mungkin ini dapat mengurangkan kes pembungan bayi dan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.  

3) Pihak berkuasa juga mestilah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu ini dan seterusnya dapat menangani masalah ini. Justeru itu, peranan media massa dan media cetak amatlah penting bagi menjayakan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Peranan media ini penting dalam menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan. 

4) Ibu bapa mestilah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak seawal mungkin demi memandu mereka ke arah kebaikan. Selain itu, Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak mereka. Hal ini demikian untuk mengelakkan mereka dari terjebak dengan pergaulan bebas yang seterusnya boleh membawa kepada penzinaan. Ibu bapa juga haruslah bertindak sebagai kawan kepada anak-anak mereka. Hubungan ibu bapa dengan anak-anak yang erat secara tidak langsung akan memudahkan ibu bapa mengawasi mereka.  

5) Ibu bapa juga mestilah menerapkan nilai-nilai yang murni, memberi sepenuh perhatian, kasih sayang dan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama. Apabila perhatian dan kasih sayang ini diterapkan, maka anak-anak akan merasa mereka dihargai dan disayangai. Ini secara tidak langsung akan mengelakkan mereka tertekan dan seterusnya mengelak daripada aktiviti pergaulan bebas diantara mereka (remaja). Oleh itu, pergaulan boleh dibataskan dan seterusnya gelaja sosial seperti pembungan anak boleh diatasi. 

6)Badan-badan NGO juga hendaklah menyediakan dan menubuhkan pusat jagaan bayi bagi membela nasib mereka yang tidak bersalah, contohnya seperti Pusat Perlindungan PERNIM. Ianya juga dapat memberi peluang kepada ibu bapa mengambil balik hak mereka dan bertanggungjawab ke atas mereka.

                    Akibat Seks Hamil Luar Nikah

JKM, NGO beri kaunseling, bantu remaja hamil luar nikah

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab memberi perlindungan kepada remaja dan kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral termasuk kes kehamilan luar nikah serta mengelak kemungkinan membuang bayi. Pada masa sama, sesiapa yang tidak mahu atau tidak berkeupayaan menjaga bayi tidak diingini boleh mendapatkan bantuan atau menyerahkannya kepada mana-mana 104 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan 60 institusi kelolaannya di seluruh negara dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi tidak berdosa. JKM memandang serius kes pembuangan bayi dan menganggap perlakuan yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan serta masalah sosial yang memerlukan perhatian segenap lapisan masyarakat. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Meme Zainal Rashid, berkata isu pembuangan bayi ini bukanlah tanggungjawab JKM semata-mata tetapi, semua pihak seperti ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama membendung masalah pembuangan bayi daripada terus berleluasa. “Kes pembuangan yang direkodkan oleh JKM pada 2008 ialah sebanyak 58 kes dan tahun lalu 40 kes,” katanya. Remaja dan kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral termasuk kes hamil luar nikah akan ditempatkan di institusinya dikenali sebagai Taman Seri Puteri. Ketika ini, JKM mempunyai empat Taman Seri Puteri yang menyediakan kemudahan perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak perempuan. JKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling pada peringkat negeri dan daerah sebagai salah satu usaha memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada mereka yang masih pada peringkat awal terdedah aktiviti tidak bermoral. 

Selain itu, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) juga diwujudkan sebagai satu program pencegahan berlakunya kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. Antara peranan PAKK adalah sebagai pusat advokasi dengan mengadakan ceramah dan kursus pendek kepada masyarakat, ibu bapa dan kanak-kanak; pusat sumber yang menyediakan bahan bacaan rujukan untuk kanak-kanak; pusat pembelajaran yang menganjurkan kelas bimbingan, komputer, kelas agama, lukisan, sajak, drama dan pidato; pusat intervensi krisis dengan menyediakan sesi kaunseling kepada kanak-kanak dan ahli keluarga bagi mengenal pasti masalah yang wujud di dalam keluarga serta sebagai pusat sosial, sukan dan rekreasi yang menjalankan program kebudayaan, kesenian dan sebagainya. 

“JKM juga menjalankan program pencegahan dengan pembabitan ahli komuniti setempat melalui organisasi akar umbi seperti Jawatan Kuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah,” katanya. Sementara itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) juga ada menyediakan 53 Klinik Sejahtera di bawah Program Reproduktif Manusia untuk memberi perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada masyarakat terutama kepada golongan wanita dan remaja serta wanita yang hamil sebelum berkahwin. Bagi tujuan ini, kerjasama dengan NGO diwujudkan untuk menyediakan pusat perlindungan bagi wanita berumur 18 tahun ke atas yang hamil luar nikah. Setakat ini, ada lapan NGO yang menyediakan kemudahan ini dan JKM memberikan bantuan kewangan dalam bentuk geran kepada mereka.

Bantuan kepada Wanita Mengandung Anak Luar Nikah


Dalam mengendalikan kes ibu mengandung anak luar nikah, terdapat 8 aspek bantuan yang kami beri:


1. Menghubungkan kes dengan agensi kerajaan berkaitan seperti JKM, Polis, Pejabat Kadi, One Stop Crisis Centre (Hospital terpilih) dan pemimpin masyarakat setempat.
2. Menyediakan tempat perlindungan sementara.
3. Menyiapkan keperluan ibu untuk menghadapi saat kelahiran.
4. Membantu keperluan saat bersalin sehingga habis tempoh pantang.
5. Membantu si ibu mendapatkan pekerjaan.
6. Menyelesaikan kes dengan keluarga kedua-dua pihak
    (Keluarga perempuan dan lelaki)
7. Membantu mendapatkan keluarga tumpang @ angkat jika si  
    ibu enggan memelihara anaknya.
8. Membantu si ibu mendapatkan jodoh

Antara tekanan yang dihadapi oleh si ibu adalah bagaimana
menangani perubahan dalam dirinya. Ini bermula dengan perubahan fizikal apabila kandungan mula membesar. Kebiasaannya si ibu akan cuba menutupi masalah dengan melarikan diri daripada anggota keluarga atau tindakan lebih kejam cuba membunuh kandungan dengan menggugurkan kandungan.

Nasihat kami jika mana-mana perempuan yang menghadapi masalah ini, pertama sekali kembalilah kepada kasih sayang dan ampunan tuhan. Ambil masa untuk menenangkan diri, jangan ada putus harapan daripada kasih sayang Tuhan, pintu taubat senantiasa terbuka, pergilah cari pelukan Tuhan dalam solat, doa dan zikir. Bercakap lah dengan tuhan, tiada siapa yang memaksa anda bertaubat, biarlah penyesalan tumbuh dari hati anda yang tulus.

Kedua, adu masalah anda kepada keluarga anda, Ibu, ayah, abang dan kakak, bapa/ibu saudara atau orang yang anda percaya boleh membantu anda. Namun ingat jangan terjerat dengan lelaki yang berupa malaikat, pertolongan dihulur umpama umpan. Ambil masa anda yang sesuai untuk menyatakan perkara yang berlaku, bina kekuatan untuk menyatakan apa yang berlaku kepada keluarga terdekat.

Ketiga, jika anda tiada kekuatan untuk mengadu kepada keluarga, carilah pejabat JKM Daerah, minta bertemu dengan kaunselor atau dengan pegawai akhlak. dan untuk tambahan jika anda perlu bantuan , boleh menghubungi kami melalui emel mubinmask@gmail.com. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai sebuah rumah perlindungan khusus untuk Ibu Mengandung Anak Luar Nikah iaitu di Batu Gajah, Perak.

Panduan bagi wanita yang mengandung anak luar nikah

Setelah mengendalikan kes-kes kecil dan menyediakan sedikit bantuan buat seorang wanita mengandung anak luar nikah ini. Di sini ingin kami berkongsi dengan semua pembaca sekelian apa yang seharusnya dilakukan sekiranya anda terlibat dalam kes seperti ini.

Sekiranya anda terlibat dengan perzinaan :
Pertama : Anda sepatutnya bertaubat daripada melakukan perkara haram itu lagi di masa akan datang.


Kedua : Mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan perkhidmatan untuk anda. Anda perlu mendaftarkan diri di Pejabat JKM terdekat . Pihak JKM akan menguruskan anda sebaik mungkin. Kes anda akan dikendalikan sebagai kes rogol.


Bantuan atau perkhidmatan melalui JKM ialah :

Bagi Ibu - Pusat Jagaan Sinar Kasih, Batu Gajah , Perak : Ibu akan dijaga disini sehingga selamat melahirkan bayi.

Bagi bayi luar nikah - akan dihantar ke Rumah kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang.


Ketiga : Anda berhak mendapatkan rawatan ibu mengandung di Klinik kesihatan kerajaan. Anda perlu membuka kad ibu mengandung (kad merah) bagi membolehkan anda melahirkan anak dengan selamat di hospital kerajaan. Kakitangan hospital bukanlah hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap dosa dan kesalahan yang telah anda lakukan. Mereka diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat!


Keempat: Sekiranya anda bernasib baik - terdapat orang/ keluarga yang sanggup untuk mengambil bayi anda sebagai anak angkat , anda mempunyai tempat pelindungan yang selamat sehingga melahirkan bayi. Anda seharusnya merasa bersyukur teramat sangat kepada Allah! .

Untuk menyerahkan bayi anda kepada keluarga angkat anda perlu mengisi Borang Akuan Berkanun yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.