JKM, NGO beri
kaunseling, bantu remaja hamil luar nikah
JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab memberi perlindungan
kepada remaja dan kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral termasuk kes
kehamilan luar nikah serta mengelak kemungkinan membuang bayi. Pada masa
sama, sesiapa yang tidak mahu atau tidak berkeupayaan menjaga bayi tidak
diingini boleh mendapatkan bantuan atau menyerahkannya kepada mana-mana 104
Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan 60 institusi kelolaannya di seluruh
negara dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi tidak berdosa. JKM memandang
serius kes pembuangan bayi dan menganggap perlakuan yang tidak bertanggungjawab
dan berperikemanusiaan serta masalah sosial yang memerlukan perhatian segenap
lapisan masyarakat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Meme Zainal Rashid, berkata isu pembuangan bayi
ini bukanlah tanggungjawab JKM semata-mata tetapi, semua pihak seperti ibu
bapa, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
bersama membendung masalah pembuangan bayi daripada terus berleluasa. “Kes
pembuangan yang direkodkan oleh JKM pada 2008 ialah sebanyak 58 kes dan tahun
lalu 40 kes,” katanya. Remaja dan kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya
moral termasuk kes hamil luar nikah akan ditempatkan di institusinya dikenali
sebagai Taman Seri Puteri. Ketika ini, JKM mempunyai empat Taman Seri
Puteri yang menyediakan kemudahan perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak
perempuan. JKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling pada peringkat
negeri dan daerah sebagai salah satu usaha memberikan bimbingan dan khidmat
nasihat kepada mereka yang masih pada peringkat awal terdedah aktiviti tidak
bermoral.
Selain itu, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) juga diwujudkan sebagai
satu program pencegahan berlakunya kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak.
Antara peranan PAKK adalah sebagai pusat advokasi dengan mengadakan ceramah dan
kursus pendek kepada masyarakat, ibu bapa dan kanak-kanak; pusat sumber yang
menyediakan bahan bacaan rujukan untuk kanak-kanak; pusat pembelajaran yang
menganjurkan kelas bimbingan, komputer, kelas agama, lukisan, sajak, drama dan
pidato; pusat intervensi krisis dengan menyediakan sesi kaunseling kepada
kanak-kanak dan ahli keluarga bagi mengenal pasti masalah yang wujud di dalam
keluarga serta sebagai pusat sosial, sukan dan rekreasi yang menjalankan
program kebudayaan, kesenian dan sebagainya.
“JKM juga menjalankan program pencegahan dengan pembabitan ahli komuniti
setempat melalui organisasi akar umbi seperti Jawatan Kuasa Kebajikan
Kanak-Kanak Daerah,” katanya. Sementara itu, Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Negara (LPPKN) juga ada menyediakan 53 Klinik Sejahtera di bawah
Program Reproduktif Manusia untuk memberi perkhidmatan kesihatan reproduktif
kepada masyarakat terutama kepada golongan wanita dan remaja serta wanita yang hamil
sebelum berkahwin. Bagi tujuan ini, kerjasama dengan NGO diwujudkan untuk
menyediakan pusat perlindungan bagi wanita berumur 18 tahun ke atas yang hamil
luar nikah. Setakat ini, ada lapan NGO yang menyediakan kemudahan ini dan
JKM memberikan bantuan kewangan dalam bentuk geran kepada mereka.
No comments:
Post a Comment